Suami puji rendang daging ikut resepi Che Nom sedap!
17 May
Resepi Rendang daging, Rendang kerang dan Lemang kukus cawan
Kalau balik kampung belah suami di Jelai memang syok sebab macam-macam rendang ada. Rendang ayam, rendang daging, rendang kerang, rendang maman dan lemang. Tapi dah 2 tahun tak balik sebab PKP jadinya suami suruh ena masak sendiri. Cuma kali ni ena teringin sangat nak cuba resepi Che Nom iaitu "Rendang Daging Hari Raya, suami bagi 5 bintang". Sumpah sedap sampai suami tambah 5kali makan dan siap suruh ena masak lagi. Kena ikut sebiji resepi ni. Ena suka tengok Youtube sebab step Che Nom bagi kita mudah faham. Suara pula lembut. hehe..
Menu RAYAPKP 2021 Rendang Daging dan Lemang Kukus Cawan
Penat masak sorang-sorang ni sebab ena ada rebus ketupat 5 jam juga. Suami cuti beku jadi ada masa habis shift tu lah kami beraya bersama. Jadi lah hiburkan hati anak-anak sambutan raya tanpa keluarga lain.
Kali ni ena try santan Ayam Brand Edisi terhad. Sedap juga. Semua rendang ena masak tak pernah tambah air. Baru lah cukup lemak.
**Pesanan : Di bawah ini resepi Che Nom. Ena cuma tukar santan perah menggunakan santan kotak Ayam Brand. Untuk masak daging 1kg ni menggunakan santan light putih (santan cair) dan santan klasik biru (santan pekat)
Bahan-bahan kisar halus:
7-8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
3 inci halia
2 inci kunyit hidup
2 inci lengkuas
3 batang serai
15-20 tangkai cili kering
sedikit air
Bahan-bahan untuk sangai kemudian tumbuk hancur:
1 sudu besar biji ketumbar
1 sudu kecil biji jintan putih
1 sudu kecil biji jintan manis
Bahan-bahan lain:
2 cawan minyak masak
1 kilo daging lembu
2 cawan santan cair
1 mangkuk santan pekat
1 keping asam keping (kalau kepingan besar, letak separuh je dulu)
2-3 sudu besar kerisik
1-2 helai daun kunyit
2-3 helai daun limau purut
gula nisan atau gula melaka secukup rasa
garam secukup rasa
** Jumlah santan adalah dari 1 biji kelapa. Jika guna santan kotak, guna yang 500ml. Kalau untuk santan fresh timbang, guna 1 kilo.
Cara memasak boleh tengok di bawah
Rendang kerang cili padi
Rendang kerang ni ena ikut resepi mertua. Kalau korang nak tumis letak minyak dulu pon boleh. Cuma ena tak guna minyak sebab nanti pecah minyak jugak. Ikut selera masing-masing.
RENDANG KERANG CILI PADI (3-5 ORG MAKAN)
Bahan-bahan dikisar:
1 genggam cili padi hijau
2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia muda
1 inci kunyit hidup
3 batang serai
1 cawan air
Bahan lain:
500 gram kerang siap direbus
1 kotak santan ayam brand 200ml
2 sudu besar lada kering dah dikisar
2 sudu besar kerisik
2 asam keping
2 sudu kecil garam
2 helai daun kunyit
Cara penyediaan:
1. Kisar bahan-bahan
2. Panaskan kuali dan leburkan semua bahan dikisar
3. Masukkan lada kisar untuk lebih pedas dan juga garam. Tumis sehingga pecah minyak
4. Masukkan santan tanpa tambah air
5. Masukkan asam keping dan kerisik. Sentiasa kacau dan masak sehingga kering sedikit.
6. Taburkan dengan hirisan daun kunyit. Masukkan kerang dan sentiasa kacau dengan api yang sederhana.
7. Masak sehingga kuah kering dan siap untuk dihidang.
**Pesanan: Jika terlalu pedas boleh tambah sedikit gula dan perasa.
Ini lah menu rayapkp ena. Satu cabaran masak sorang-sorang ni. Biasa di kampung tolong potong-potong je.hahahah. Ada hikmah lah belajar buat sendiri. Masa ni lah nak tambat hati suami. Yang penting suami puji rendang sedap. Hilang penat memasak tu.
Fruit cocktail
Rezeki raya kedua dapat banyak lauk rendang dari keluarga angkat di Muo. Jadi ena buat fruit cocktail je. hehehe. Ni senang buat dan cepat juga lah habis. hahaha.
Resepi mudah je. Guna 2 tin susu cair, gula 4 sudu besar dimasak. Kemudian korang masuk jelah buah-buahan dalam tin fruit cocktail yang korang suka. Dah siap, Teruslah simpan dalam peti sejuk dan letak ais bila nak makan.
1 gambar je elok sebab budak-budak ni taknak bagi kerjasama. Ok lah ada kenangan bergambar petang raya sebab suami keje. Syukur masih bertemu Syawal dan disisi suami. Kalau nak tahu ada tahun ena beraya tanpa suami. Kena redha lah jadi isteri badan beruniform ni.
Masih tak terlambat untuk ena ucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam. Sedih sebenarnya 2 tahun tak berapa dengan mak di Pontian. Paling sedih sebab mak beraya sorang tanpa ena dan adik. Adik ena bekerja di New Zealand. Nasib baik lah adik beradik mak ada di kampung. Dapatlah beraya juga bersama keluarga lain, Cuma hati tersentuh bila mak cakap ena beruntung juga raya ada anak-anak. Huwaaa terus berjurai air mata ni. Semoga kita semua dapat beraya bersama keluarga tanpa PKP. Terseksa jiwa raga risaukan mak yang ibu tunggal. Hmm. Biasalah orang tua mana nak duduk dengan anak. Pujuk camne pon selesa tinggal sorang. Hanya mampu berdoa dari jauh. SALAM LEBARAN RAYA 2021 !!!
5 Comments